JKR Daerah Bentong

SEJARAH DAERAH BENTONG

 

sej-bentong

 

Mengikut cerita lama dari orang-orang tua asalnya Bentong adalah dikenali sebagai nama Kapong. Nama Kapong telah bertukar kepada Bentong sebelum daripada Peperangan Dunia Pertama. Pada mulanya Bentong berpusat di sekitar kawasan pasar iaitu di persimpangan antara Sungai Repas dan Sungai Perting. Jalan perhubungan yang penting pada ketika itu adalah sungai yang menggunakan perahu berpangkalan berhadapan dengan rumah rehat yang ada sekarang ini. Bentong menjadi tumpuan apabila kedua-dua sungai yang menjadi jalan perhubungan utama itu terdapat bijih timah. Pengusaha bijih telah membina ban untuk memperolehi bijih timah yang lebih banyak. Dengan itu mereka mendapat untung yang lebih tinggi. Keadaan ini telah menjadi perbualan kepada orang-orang luar Bentong dengan cerita Ban Untung. Ban Untung telah menjadi lebih terkenal dengan nama Ban Untung dan daripada sinilah wujudnya nama daerah Bentong.

Menurut Pak Zek (Budayawan Dato' Haji Zakaria Bin Hitam) nama Bentong itu berasal dari Bapong. Pada zaman dahulu Bentong pernah dijadikan kubu oleh Dato' Bahaman. Askar British telah menghantar tentera Gurka untuk menghapuskan Dato' Bahaman dan mengawasi kawasan tersebut. Tetapi sebahagian daripada orang Gurka itu telah diserang dan dibunuh oleh orang-orang Dato' Bahaman. Mereka kemudian telah dicampak kedalam sungai. Dengan itu banyaklah mayat terapung-apung dipermukaan sungai berkenaan. Berikutan dari peristiwa itu, tapak tersebut telah dikenali dengan nama Bapong yang lama-kelamaan menjadi Bentong. Tarikh sebenar nama Bentong wujud tidaklah diketahui.

Bentong adalah sebuah daerah yang terletak di bahagian barat negeri Pahang Darul Makmur. Pada mulanya Bentong adalah sebuah daerah kecil di bawah pentadbiran daerah Raub. Oleh kerana daerah Raub terlalu besar maka Bentong telah dipisahkan dari daerah Raub dalam tahun 1919 dan menjadi daerah penuh yang terdiri dari tiga mukim iaitu Mukim Bentong, Mukim Sabai dan Mukim Pelangai. Luasnya ialah 452,480hektar atau 183,190.27 ekar dengan jumlah penduduk dianggarkan seramai 92,000 orang. Majlis Perbandaran Bentong merangkumi bandar-bandar kecil yang terdiri dari bandar Bentong, Karak, Telemong, Manchis, Sungai Dua, Bukit Tinggi dan Genting Highlands dimana bandar-bandar tersebut diduduki oleh pelbagai kaum.

Artikel ehsan Perbadanan Perpustakaan Daerah Bentong